Hospital kerajaan atau swasta? Apa pilihan anda.

Assalamualaikum

Dua hari lepas, saya buat satu survey di group Kelab Ibu Mengandung.

Survey ringkas sahaja tentang pilihan hospital bersalin.

Rata-rata yang mengundi memilih bersalin di hospital kerajaan berbanding swasta.

Secara personelnya saya sendiri lebih suka di hospital kerajaan sementelah hospital kerajaan sendiri sudah mempunyai fasiliti dan kemudahan yang sangat bagus, namun ada beberapa sebab juga yang menyebabkan semasa melahirkan anak ketiga saya memilih untuk ke hospital swasta.

Semasa melahirkan Razin dan Rafif dahulu, kedua-duanya lahir di Hospital Yan di Kedah. Saya bertuah mendapat layanan yang baik semasa proses melahirkan dan disebabkan hospital ini hospital rakan bayi, suami juga dibenarkan masuk namun semasa betul-betul proses melahirkan sahaja. Nurse yang bertugas di wad bersalin ini juga baik-baik belaka.

Namun antara sebab utama saya memilih untuk ke hospital swasta semasa melahirkan Nurin kerana tidak mahu lagi diperiksa oleh doktor lelaki. Masih teringat malunya apabila doktor lelaki yang memeriksa bahagian sulit kita. Siap kena seluk lagi. Allah, serik!

Memanglah bersalin itu sebentar cuma, namun aurat tetap perlu dipelihara. Saya berusaha mengumpul wang sepanjang kehamilan demi memastikan semasa kandungan ketiga, saya tidak lagi diperiksa oleh doktor lelaki walau sekali pon terutamanya melibatkan bahagian sulit. Cukuplah kenangan pahit semasa anak pertama dan kedua.

Benar di hospital kerajaan itu ramai pakar, namun kita tidak dapat memilih pakar perempuan untuk merawat dan menguruskan kelahiran anak kita. Pada saya, biarlah berhabis sedikit, asalkan saya berusaha sehabis baik demi menjaga aurat saya daripada bukan mahram terutamanya melibatkan bahagian yang selayaknya dilihat oleh suami sahaja.

Pengalaman ngeri dilayan umpama patung semasa mengalami kontraksi awal di Hospital kerajaan takkan saya lupakan. Saya pernah dijadikan bahan eksperimen untuk doktor pelatih. Pelatih lelaki lagi tu. Boleh anda bayangkan?

Kekasaran seorang doktor perempuan di hospital kerajaan menyeluk untuk memeriksa bukaan juga masih segar di ingatan. Memang sukar dilupakan. Namun, saya cukup bersyukur semasa saya melahirkan Razin dan Rafif hanya jururawat wanita yang bertugas dan mereka melayan dengan baik sekali.

Kini ada hospital yang menawarkan program FPP (full payment pay) yang membolehkan pesakit memilih doktor seperti di hospital swasta. Sekiranya ada hospital seumpamanya berhampiran saya, pasti saya juga memilihnya. 😄

“Kesakitan boleh hilang
Namun kepercayaan sukar dipulihkan”

-Drbasya-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.