Cinta Monyet

Cinta Monyet

Teringat dulu masa saya di darjah 5, kami sekeluarga berpindah dari Pulau Pinang ke Kedah.

Di Pulau Pinang, saya bersekolah di tengah pekan. Balik ke Kedah, bersekolah di kampung pula. Suatu perubahan keadaan sekitar yang amat ketara bagi saya pada waktu itu. Dari suasana bandar yang sibuk kepada keadaan kampung yang tenang dan harmoni.

Cuaknya berpindah. Rasa tak tahu bagaimana mencari rakan tambahan pula saya seorang yang pendiam masa kecil.

Mujurlah ada antara rakan sekelas saya itu rumahnya berdekatan rumah nenek saya. Maka dia yang paling awal saya dekati.

Setelah sebulan di sekolah baru, saya mulai menyesuaikan diri. Rasa seronok pula dan terasa bijak kerana rata-rata pelajar lemah dalam subjek bahasa inggeris. Saya yang berasal dari pekan pada waktu itu sering menjadi tumpuan rakan dan guru.

Suatu hari, ada seorang pelajar perempuan yang tidak saya kenali menghampiri saya dan menyerahkan sekeping kertas. Katanya ada pelajar kelas sebelah minta sampaikan.

Saya selak kertas itu. Terkejut apabila mendapati kertas itu dari pelajar lelaki yang ingin berkenalan. Menggeletar tangan ini. Tanpa berfikir panjang, saya cari pelajar perempuan tadi dan serahkan kembali surat itu kepadanya. Saya minta dia pulangkan kepada penghantar tadi. Saya tidak mahu surat itu.

Dalam keadaan hati yang masih cuak dan berdebar itu, saya masuk ke kelas selepas rehat dan belajar seperti biasa. Sejak itu, saya sentiasa merasakan saya diperhatikan. Seramnya!

Suatu hari, saya dipanggil oleh guru. Kecut perut saya saat itu. Entah apalah agaknya yang ingin disampaikan oleh cikgu ya?

Setibanya saya di bilik guru, cikgu menunjukkan beberapa keping surat. Di tanya kepada saya. Adakah saya tahu tentang ini? Saya yang memang cuak habis memaklumkan kepada cikgu yang memang saya tidak tahu apa-apa tentang surat itu. Cikgu membacakan pula surat itu di hadapan saya. Merah padam muka saya menahan malu. Rasa ingin menangis semahu-mahunya. Apakah salah saya?

Mujurlah cikgu faham saya memang tidak bersalah. Akhirnya pelajar lelaki yang menulis surat itu dipanggil berjumpa cikgu. Katanya dia menerima hukuman. Tapi tak tahulah pula bentuk hukuman itu.

Sejak itu, saya memang tak sanggup melintasi kelas pelajar itu apatah lagi memandang mukanya. Mujurlah saya masih mampu fokus belajar dan menjadi pelajar cemerlang di sekolah.

Entah apalah nasib peminat misteri saya tu sekarang ya? 😆

Nota kaki: Zaman belajar pulun belajar je. Dah kerja dan dapat balas jasa ibu ayah barulah belajar bercinta pula. Hihi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.