HIKMAH

HIKMAH

Beberapa minggu lepas saya menghadapi tekanan di tempat kerja.

Otak jadi celaru. Dada terasa sempit dan gelisah di tempat kerja. Isunya bermula daripada sedikit rasa tidak puas hati dengan ketua.

Saya terasa diri teraniaya dan ketua umpama tidak melihat kebaikan yang saya buat selama ini. Melayan perasaan sedih saya menangis berhari-hari sehingga hilang mood untuk bekerja. Mengenangkan saya masih makan gaji, dan keberkatan wang yang datang dari itu, saya gagahkan diri turun bekerja walaupun hati terasa sebak dan walang.

Saya menahan diri dari mendoakan keburukan buat ketua. Paling teruk saya doakan hanya saya atau dia dipindahkan dari situ. Haha.

Apa yang kita doakan dan harapkan tak semestinya tuhan akan kabulkan pada masa itu. Tuhan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik yang mungkin pada mulanya dirasakan umpama musibah yang menimpa.

Saya sekeluarga kemudiannya mengalami sejenis demam yang teruk. Bermula dari anak sulung saya yang tiba-tiba demam sebaik pulang dari sekolah. Dia muntah dan tidak lalu makan. Suhu badannya naik terlalu tinggi sehingga badannya terketar-ketar. Tak lena malam suami saya menjaganya agar tidak mendapat sawan. Kami bawa dia ke klinik 1 Malaysia dan dapatkan rawatan.

Belum sempat menarik nafas lega, anak kedua pula berjangkit demam yang sama. Situasi ini lebih merisaukan saya kerana anak kedua ini memang seorang yang susah nak makan. Badannya yang kurus akan semakin kurus. Kami bawa dia ke klinik Azhar untuk rawatan. Pada masa ini, suami saya mula menunjukkan tanda dia juga hampir demam. Lantas sama-sama mendapatkan rawatan dan cuti sakit.

Kerisauan saya memuncak apabila anak kecil saya pula demam. Kali ini saya dah bertekad ambil cuti kecemasan untuk menjaga mereka semuanya. Malam itu, saya pula diserang simptom demam yang sama.

Sakitnya urat-urat dalam badan. Di hujung-hujung jari terasa kebas umpama dicucuk-cucuk. Badan luar panas manakala dalaman terasa sejuk sampai ke tulang. Menggigil-gigil saya menahan kesejukan dan kesakitan. Kami sekeluarga telah demam!

Keesokannya, saya gagahi diri ke klinik dan dapatkan rawatan. Doktor beri saya cuti sakit 2 hari. Manakala suami pula mendapat tambahan cuti sakitnya. Masa ni, anak sulung dan kedua dah kelihatan sihat jadi kami hantar juga mereka ke sekolah. Tinggallah kami 3 beranak di rumah; saya, suami dan anak kecil. Demam ini sangat teruk sehingga apa yang kami makan terasa pahit di tekak.

Baru terasa ingin menarik nafas lega, kami terima panggilan dari taska mengatakan anak kedua demam semula. Bergegas suami ke taska mengambil pulang anak kedua dari sana.

Demam belum berakhir rupanya. Terngiang-ngiang suara doktor di klinik tadi mengatakan kami sekeluarga diserang demam virus dan demam ini mungkin jadi lebih teruk malahan mungkin akan berulang selagi virus belum betul-betul dinyahkan dari badan. Badan yang kurang keimunan, mungkin mendapat demam ini semula.

Masuk hari kelima, saya rasa agak sihat. Lagipun cuti sudah habis. Saya gagahi diri ke tempat kerja dan hantar anak paling kecil ke pengasuh. Dalam hati tidak henti berdoa agar anak tidak apa-apa.
Jadual kerja yang padat membuatkan saya lupa seketika kesakitan dan kesedihan saya sebelum ini.

Pulang dari kerja dan sampai ke rumah, saya terus merebahkan badan untuk tidur selepas selesai makan segala ubatan yang dibekalkan doktor sebelum ini. Menjelang malam, perkara yang saya risaukan berulang. Anak kecil saya kembali demam panas. Dia merengek tidak selesa. Saya tidak dapat melelapkan mata kerana asyik mengawal suhu badannya. Kepala mula terasa pusing.

Menjelang keesokan harinya, saya sudah tidak dapat menahan sabar lagi melihat suhu anak yang terusan tinggi walaupun ubat telah diambil. Kali ini, saya dan suami sepakat membawa terus anak kami ke hospital. Kami pilih ke hospital swasta kerana ingin mendapatkan rawatan yang segera.

Luluh rasa hati melihat anak kecil saya terpaksa dicucuk untuk diambil darah dan sampel hidung. Meraung-raung dia menahan kesakitan dicucuk. Menitis air mata seorang ibu melihat situasi itu. Keputusan sampel tiba tidak lama selepas bayi dimasukkan ke wad. Doktor mengesahkan bayi kami dijangkiti Influenza A. Virus ini memang berjangkit dan berbahaya. Doktor mengesyaki kami sekeluarga terkena virus yang sama.

Kami sekeluarga dikuarantinkan dalam satu bilik. Bayi kami diberikan pantauan suhu dan ubatan yang sesuai. Setiap dua jam, jururawat akan datang dan pantau suhu serta berikan ubat. Siksa juga nak memberikan ubat kepada anak kami ni. Jenuh jugalah dipujuk. Air juga dimasukkan ke dalam badannya dan ada juga ubat yang dimasukkan melalui suntikan tangannya tadi. Meraung-raung dia kesakitan. Setiap kali itu jugalah luluh hati saya mendengarkan.

Alhamdulillah kesihatan anak saya semakin baik. Masuk hari kedua di hospital, saya mohon untuk pulang. Doktor benarkan beserta syarat agar kami sekeluarga dikuarantin. Saya perlu jaga anak saya di rumah. Berat rasa hati mengenangkan tugasan yang banyak di tempat kerja namun demi kerana kasih kepada anak, saya rela berkorban.

Sepanjang tempoh bercuti ini, saya rasa diri umpama diberi tempoh bertenang untuk melupakan tekanan di tempat kerja. Saya dapat melihat satu demi satu situasi yang berlaku sebelum ini dengan lebih jelas. Saya kembali muhasabah diri dan memikirkan matlamat yang ingin saya capai dalam hidup dengan lebih jelas. Seronok bergelar suri rumah sepenuh masa namun bersediakah saya? Mampukah perniagaan yang saya usahakan sekarang memenuhi keperluan kami sekeluarga dan menjelaskan hutang-hutang yang membelenggu saya? Masanya belum tiba tapi saya akan berusaha ke arah itu.

Rupa-rupanya Allah mengetahui saya perlukan masa untuk berehat dan menenangkan fikiran. Fikiran yang celaru menjadikan produktiviti dan kualiti kerja berkurang. Sepanjang saya bercuti ini ,saya dapati saya mendapat masa yang lebih berkualiti bersama anak-anak saya dan saya dapat menguruskan emosi dengan lebih baik. Semoga saya akan kembali bekerja dengan lebih semangat selepas ini dan menyediakan tabungan untuk persediaan BERPENCEN AWAL seperti yang saya impikan. Mudah-mudahan Allah bantu saya mencapai impian ini; mencapai kebebasan dalam kerjaya,kewangan serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Aamiiiin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.