Akibat tak menjaga kebersihan

Nizar yang berumur 8 tahun merupakan pelajar darjah dua Sekolah Kebangsaan Kampung Gembira. Susuk tubuh Nizar agak gempal dan rangkanya besar menjadikan Nizar sentiasa disangka berumur lebih dari usia sebenarnya.

Selaku anak sulung daripada 3 beradik, Nizar merupakan anak yang menjadi harapan kedua ibu dan ayahnya. Ibu dan ayah Nizar kedua-duanya bekerja. Ibu Nizar merupakan seorang peniaga yang menjual produk kesihatan jenama Asmak manakala ayah Nizar seorang pekerja di sektor kerajaan.

Ibu Nizar sering kali menasihati Nizar agar memberikan contoh tauladan yang baik kepada adik-adik Nizar sementelahan adik-adik Nizar pasti akan mengikut segala apa jua tindakan yang diperhatikan Nizar lakukan. Nizar seringkali menunjukkan rasa tidak puas hati apabila kerap diperingatkan dengan perkara yang sama itu. Dia merasakan dirinya sudah besar, tahu membezakan perkara baik dan buruk. Jadi, nasihat ibunya didengar sambil lewa sahaja.

Di sekolah, Nizar merupakan pelajar yang pintar. Tidak pernah Nizar mendapat keputusan yang tercorot di kelasnya. Paling teruk pun,masih dalam lingkungan 10 terbaik. Hal ini menjadikan Nizar semakin bangga diri dan besar kepala. Adik-adik Nizar sering dipandang sebagai orang yang bodoh dan lemah.

Satu perkara yang sering menjadi kegusaran ibu dan bapa Nizar ialah tentang kebersihan diri Nizar. Sekiranya mandi, Nizar akan mandi dengan pantas dan ala kadar sahaja. Menggosok gigi merupakan aktiviti yang paling tidak disukai Nizar. Kadang kala, Nizar tidak menggosok gigi sehingga beberapa hari!

Setiap kali tiba waktu makan, Nizar laju sahaja menuju ke meja makan tanpa sempat membasuh tangan. Kerap kali ibu dan ayah Nizar terpaksa mengingatkannya untuk mencuci tangan sebelum dan sesudah makan. Bukan itu sahaja, Nizar juga kerap menumpahkan makanan semasa makan serta mengotorkan pakaian setiap kali selepas makan. Ibu dan bapa Nizar sudah naik muak menasihati Nizar agar mengubah tabiat buruknya itu.

Pada suatu malam, Nizar berasa tidak sedap perut. Masakan tidak? Nizar menghabiskan nasi dengan lauk ayam sehingga 2 pinggan pada malam itu! Segera Nizar mengadu hal itu kepada ibunya. Dengan pantas, ibu Nizar mencapai sebotol Minyak Herba Asmak lantas disapukan ke perut Nizar. Tidak sampai 5 minit, Nizar terus rasa ingin ke tandas dan membuang air besar. ‘Ajaib sungguh minyak ini’,gumam Nizar di dalam hati.

Selepas selesai sesi memerut itu, mata Nizar terus berasa berat. Nizar laju menuju ke bilik tidurnya lantas berbaring di atas katil. Sayup-sayup terdengar suara ibu Nizar menjerit tentang sesuatu. ‘Ah, biarlah. Mesti ibu sedang memarahi Rifaf’, fikir Nizar. Rifaf adalah adik Nizar yang agak nakal dan suka bermain-main.

Sedang enak Nizar melayan perasaannya, tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu merayap keluar dari mulutnya. Nizar terkejut terus melompat bangun dari katil. Dengan segera dia menuju ke cermin. Belum sempat Nizar sampai ke cermin, lampu padan dengan sendirinya. ‘Alamak, blackout pula!’. Kecut perut Nizar dibuatnya.

Nizar segera berlari keluar dari bilik sambil menjerit memanggil ibu dan ayahnya. Namun tiada sesiapa pun yang menyahut. Panggilan Nizar hanya bergaung dipantul dinding. Nizar berasa dia kini keseorangan di tempat yang asing. Ada sesuatu merayap di badan Nizar. Nizar cuba mencapai ‘benda’ itu untuk dibuang jauh dari badannya. Terasa licin dan panjang. Semakin dibuang, semakin banyak ‘benda’ itu keluar. Ada yang merayap keluar dari mulut malahan ada yang melata di seluruh badan Nizar.

Nizar semakin cemas. Dia mula menangis sambil menggelupur cuba melepaskan dirinya dari ‘benda’ yang tidak diketahui itu. Gelinya hanya tuhan yang tahu. Semakin kuat Nizar meronta, semakin banyak ‘benda’ licin dan panjang umpama cacing itu keluar dari mulut lantas menjalar ke seluruh badannya. Nizar terus meronta dan meronta. Dia merasakan ini mungkin saat terakhir kehidupannya. Nizar berasa sangat menyesal kerana tidak mendengar nasihat ibu dan ayahnya selama ini.

Dalam sisa-sisa nafasnya yang terakhir, Nizar sempat berjanji kepada dirinya, sekiranya dia dapat selamat dari belenggu ‘benda’ ini, dia akan mengubah sikapnya dan menjadi orang yang lebih baik. Nizar terdengar bisikan ‘benda’ itu yang menyukainya kerana keadaan diri Nizar yang tidak bersih itu. Nizar berasa semakin tidak selesa. Dia hampir lemas. Dia sukar menarik dan menghembus nafas. Badannya semakin lemah. Mata Nizar sudah tertutup. Nizar tidak sedarkan diri lagi.

Bauan gamat dan herba kuat menusuk di hidung Nizar. Dada Nizar terasa berangin dan lapang sekali. Terdengar suara memanggil-manggil nama Nizar. Nizar segera membuka matanya. Kelihatan wajah ibu dan ayah Nizar di depan matanya. Nizar memeluk ibunya sambil menangis teresak-esak. Nizar mendengar ayahnya mengucapkan syukur berkali-kali. ‘Nizar janji bu, Nizar akan dengar cakap ibu lepas ni. Nizar akan rajin gosok gigi. Nizar tak mahu kotor lagi. Nizar takut ibu. Nizar takut’. Berulang-ulang kali ayat ini diluah Nizar dalam esakan. Ibu dan ayah Nizar memandang sama sendiri. Mereka berdua pelik Nizar mengeluarkan perkataan sebegitu. Sangkaan mereka, Nizar cuma diserang asma.

Sejak dari peristiwa malam itu, Nizar terus berubah. Dia menjadi seorang budak yang sangat mementingkan kebersihan. Wajah dan pakaiannya sentiasa kelihatan bersih dan rapi. Dia juga sentiasa membantu guru dan rakan-rakannya yang kelihatan memerlukan bantuan. Guru dan rakan semakin menyayangi Nizar. Nizar juga telah dilantik menjadi pengawas disebabkan sikapnya yang baik dan boleh dicontohi itu.

Kebersihan itu separuh daripada iman. Orang yang suka kebersihan akan sentiasa disayangi dan dihormati.

Sekian.

-Drbasya, ibu kepada 3 anak yang mendengar kata, 25/3/2018, 10.15pm-

Untuk kisah menarik yang lain, layari:
abgniaga.com
norahtuah.com
anitahasan.com
teacherbasariah.blogspot.com

PETUA PISANG TAHAN LAMA

Baru-baru ini saya mendapat beberapa tangkai pisang daripada seorang rakan. Pisang yang diberi memang sedang elok sahaja masaknya untuk digoreng. Masalahnya, saya tidak sempat menggoreng pisang tersebut kerana perlu keluar berkursus selama 3 hari 2 malam. Kalau simpan dalam peti sejuk, cokodok sahajalah jadinya. Lazimnya pisang yang masuk ke peti sejuk juga, kulitnya akan berwarna kehitaman.

Sempat rakan saya berkongsi satu petua dengan sahaja sejurus saya menyuarakan masalah ini kepadanya. “Cubalah balut tangkai pisang dengan kain,kertas atau apa-apa bahan yang sesuai. Pisang biasanya akan lebih tahan lama”, ujar beliau.

Saya pon mencuba petua tersebut. Kebetulan mata terlihat tisu dapur yang ada pada masa itu. Saya lipatkan tisu dan balut serta dikukuhkan dengan getah.

Hasilnya, alhamdulillah, sebaik saya pulang dari kursus, pisang masih dalam keadaan elok dan boleh digoreng.

Cuba tengok sebiji pisang di bahagian atas yang tidak dibalut tangkainya. Dah hitam kan?

Selamat mencuba!

-Drbasya peminat pisang goreng, 17/4/2018, 9.20am –

Kisah Inspirasi: Miskin tak beerti bodoh

Sedang saya khusyuk membuat tugasan di meja kerja, tiba-tiba telinga berjaya menangkap perbualan dua rakan sejawatan saya. Macam menarik saja bunyinya. Segera saya memberhentikan kerja seketika dan terus memasang telinga mendengar perbualan yang semakin rancak itu.

“Anak-anak saya suka bergaduh. Adik dengan kakak susah sangat nak berbaik-baik. Kalau dengan kawan dia, mudah je si kakak nak pinjamkan barang dia. Kalau adik yang nak, alamat perang besarlah!”

“Saya pon sama. Tadi sempat saya bersembang dengan Encik X tanyakan rahsia dia mendidik anak-anaknya. Anak-anak dia kan pandai-pandai belaka”.

Masa ni saya dah tak tahan untuk mencelah. Rakan saya terus memberikan tips-tips hebat yang diamalkan oleh Encik X. Anda nak tahu? Teruskan membaca!

Encik X ni merupakan salah seorang staf am di pejabat tempat saya bertugas. Kami semua sedia maklum beliau mempunyai anak yang ramai dan hanya bekerja seorang. Datang kerja pon dengan memandu kereta terpakai. Kereta buruk itulah yang digunakan untuk menghantar dan mengambil anak-anaknya dari sekolah.

Usia anak-anak Encik X ni rapat-rapat. Selang setahun, dua tahun sahaja. Memang kehidupan mereka sekelurga kelihatan amat sukar namun Encik X tak pernah sekalipun merungut tentang nasib dirinya. Saya lihat beliau sebagai seorang lelaki yang cekal dan gigih berusaha untuk keluarga.

Setiap kali bulan Ramadhan menjelma, beliau akan mengambil cuti seminggu lebih awal sebelum menyambut aidilfitri khas untuk berniaga lemang bagi menampung kegunaan keluarga beliau di hari lebaran.

Semua anak-anak Encik X pandai-pandai. Beliau dikurniakan 9 orang cahaya mata. Anak-anak beliau pernah ditawarkan belajar di sekolah berasrama penuh namun semuanya ditolak. Encik X lebih gemar anaknya bersekolah di sekolah harian sahaja. Saya menganggarkan beliau tidak menerima tawaran tersebut kerana kos untuk menghantar anak ke sekolah berasrama penuh bukanlah murah. Dengan gaji beliau sekarang, pastilah akan menimbulkan masalah. Namun, selepas mendengar tips yang diberikan Encik X kepada sahabat saya ini, pemikiran saya berubah 200 peratus!

Menurut cerita rakan saya ini, Encik X telah membuat perjanjian dengan anak-anaknya. Untuk setiap anak, Encik X meminta anak-anaknya untuk menghadiahkan Al-Fatihah kepada beliau dan isteri setiap kali anak-anaknya selesai solat. Dan sebagai balasan, Encik X akan menghadiahkan Al Quran kepada anaknya dalam tahun itu.

Saya pada mulanya tidak faham. Saya ingatkan Al Quran yang dimaksudkan ini hanyalah naskhah Al-Quran. Rupa-rupanya bukan! Al-Quran yang dimaksudnya Encik X adalah bacaan Al-Quran. Maknanya, Encik X akan membacakan Al-Quran dan diniatkan khusus pahala bacaan itu kepada setiap anaknya. Ada 9 orang anak, beereti 9 kalilah Encik X khatam Al-Quran untuk anak-anaknya dalam setahun. Hebat bukan?

“Ayah tak kaya, ayah tak mampu hadiahkan kamu dengan harta. Ayah hanya mampu hadiahkan kamu dengan Al-Quran. Semoga menjadi amal jariah untuk kamu dan ayah di sana”. Kata-kata ini membuatkan air mata saya menitis tanpa disedari. Patutlah anak-anak Encik X semuanya terang hati!

Ada satu lagi tips berharga yang Encik X kongsikan dengan sahabat saya. Encik X beritahu sahabat saya itu yang beliau tidak akan masuk tidur sebelum anak-anaknya tidur. Beliau akan pastikan anak-anak beliau tidur dahulu. Kemudian, beliau akan masuk ke bilik mereka dan pandang wajah setiap anak beliau.

“Sambil pandang tu, dia baca doa ke?”, soal seorang lagi sahabat saya tak sabar.

“Tak. Pandang je. Katanya apabila pandang wajah anak masa tidur ni, akan timbul perasaan belas dan kasih kepada anak.”

Terdiam kami bertiga seketika. Masing-masing mula memikirkan rasional tindakan Encik X itu. Dan saya pasti, kami sama-sama memasang azam untuk cuba melakukan amalan yang sama. Mudah-mudahan anak-anak kami nanti juga akan cemerlang dan berjaya macam anak Encik X.

-DrBasya, 11/4/2018 8.30 p.m-