Sebungkus nasi lemak

Sebungkus nasi lemak

“Bonda, nah nasi lemak! Darma bagi”. Hulur seorang pelajar perempuan ke arah saya. Selaku guru tingkatan kelas 4 Khaldun ini, saya meminta pelajar memanggil saya dengan panggilan ‘Bonda’ dan memang pelajar-pelajar ini menjadi rapat dengan saya.

Lantas saya berpaling melihat ke arah kelompok pelajar perempuan yang berkumpul di tengah dataran perhimpunan itu. Kelihatan pelajar bernama Darma ada di situ tersipu-sipu malu sambil tersenyum memandang saya. Saya melambai sambil menggerakkan bibir mengucapkan terima kasih. Senyuman pelajar itu kian melebar. Saya pasti hatinya berbunga riang kerana hajatnya kesampaian.

Dalam masa yang sama saya sendiri berasa sangat terharu. Rupanya ada juga pelajar yang mengingati saya seawal pagi untuk membawakan bekal nasi lemak kepada saya.Beberapa hari lepas, pelajar yang sama tiba-tiba menghampiri saya dan bertanyakan samada saya mahu nasi lemak pada hari jumaat atau tidak. Saya tersenyum dan pastilah tidak menolak perlawaan itu. Saya tak kisah pon kalau perlu membayar harga nasi lemak itu kerana saya tahu ibu pelajar tersebut berniaga.

“Eleh, dapat nasi lemak pon nak kecoh!”. Memang nampak harga nasi lemak itu rendah. Hanya Rm1 mungkin. Namun, nilai kasih seorang pelajar kepada guru itu sangat tinggi di mata saya. Dan yang pasti, pelajar tersebut ikhlas memberikan nasi lemak itu secara percuma sahaja.

Sebenarnya, bukan harga yang menjadi ukuran namun keikhlasan itu yang menerbitkan rasa cinta dan kasih sayang dari seorang murid kepada guru dan guru kepada murid.

Kadangkala, saya perhatikan pelajar malu untuk memberikan hadiah kepada guru kerana risau hadiah tersebut dipandang rendah oleh guru. Suatu yang menjadi pegangan saya dari dulu, mahal atau murah sesuatu hadiah itu tidak penting. Yang utama adalah keihlasan dan ingatan. Hati saya akan tetap berbunga riang walau menerima penanda buku atau kad ucapan buatan tangan. Itu sudah cukup menandakan saya ada di ingatan pelajar-pelajar saya. Hadiah yang diterima terutamanya kad ucapan ini sentiasa saya simpan dan ada yang ditampal di meja kerja sebagai penguat semangat apabila dilanda kesedihan atau tekanan kerja melampau. Inilah antara sumber kekuatan saya untuk kekal dalam profesion ini.

Sentiasa saya ingatkan para pelajar untuk mendoakan kepada kedua ibu bapa mereka dan juga kepada guru-guru setiap kali mendoakan untuk diri mereka sendiri dan pastilah saya juga akan mendoakan mereka. Inilah istimewanya menjadi seorang guru. Ilmu bermanfaat yang digunakan oleh pelajar dan doa dari pelajar yang soleh menjadi bekalan kami walau tiada lagi hayat di dunia ini. Saya doakan semua pelajar saya menjadi insan berguna dan berakhlak mulia.

Kasihkan guru, ilmu bertambah di dada.

Drbasya, guru yang sentiasa kasihkan muridnya
20/4/2018, 9.50 a.m

Lagi kisah menarik di:
abgniaga.com
norahtuah.com
anitahasan.com
teacherbasariah.blogspot.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.